Alamat Perhubungan : Lot 2792, Batu 8, Jalan Meru, Mukim Kapar, 42200 Klang Selangor. 03-33924652
Sunday, August 15, 2010
HARI KELUARGA TASKI/TAHFIZ ABIM KLANG
JOM RAIKAN RAMADHAN
Penyertaan adalah PERCUMA
Tarikh : 27 - 28 Ogos 2010
Jika berminat sila hubungi Pn Kamilah melalui no tel pejabat : 03-3392 4652
Terima kasih
Sunday, July 11, 2010
LESEN JUDI: MODEL EKONOMI APA?
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
ومن أعرض عن ذكرى فإن له معيشة ضنكا ونحشره يوم القيامة أعمى
Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sungguh,
dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan
Mengumpulkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta.
(Taha: 124).
Pada suatu ketika seorang tokoh Melayu-Muslim mendakwa tidak menemukan ayat larangan berjudi dalam al-Qur'an, lalu ramai yang menanggapinya sebagai suatu kelucuan. Tetapi sebenarnya ia adalah hal yang malang dan menyedihkan. Mungkin dakwaan tersebut agak sukar diterima akal, tetapi demikianlah cara pengarah casino terkenal itu berhelah untuk mempertahankan kredibilitinya.
Di tengah heboh isu lesen judi ketika ini, terlintas suatu kemungkinan bahawa beliau tidak keseorangan, tetapi ada lagi orang-orang kenamaan Melayu-Muslim yang tidak mengenal ayat judi, atau tidak dapat melihat bahaya dan keburukan judi. Kemungkinan lain ialah lemahnya penguasa politik Melayu-Muslim sehingga tidak berdaya berkata "tidak!" kepada lobi dan tekanan taukeh-taukeh judi. Tentu ada pula sebabnya mengapa mereka menjadi selemah itu apabila berhadapan dengan kekuatan wang. Sikap terhadap judi dan maksiat-maksiat lain sebenarnya sangat ditentukan oleh faktor iman dan ilmu. Kedua-dua faktor itulah yang dapat memberikan kekuatan dan keberanian bersikap dengan benar, sesuai tuntutan iman dan kebenaran ilmu.
Andainya kita melihat segala sesuatu dari perspektif Qur'ani, dan andainya Tuhan dan Ayat-Ayat-Nya masih mempunyai erti dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara persoalan ini tidak akan sampai menjadi isu. Tidak ada alasan apa pun yang boleh dipakai untuk menjustifikasikan judi dalam segala bentuk dan modelnya. Larangan berjudi diungkapkan dalam al-Qur'an dengan nada yang cukup jelas, tegas dan keras sekali:
يآأيّها الذين آمنوا إنّما الخمروالميسروالأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان
.فاجتنبوه لعلّكم تفلحون
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi,
(berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak
panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan.
Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung.
(Al-Ma'idah:90).
Ayat tersebut bermula dengan ungkapan panggilan (wahai orang-orang yang beriman!), suatu gaya panggilan istimewa yang penuh penghormatan. Mereka yang memiliki sensitiviti keimanan akan tersentak mendengar panggilan tersebut. Justeru, kita dipanggil dengan kalimat yang mengungkapkan sikap dan pendirian bijak yang telah kita ambil iaitu pendirian untuk beriman. Kesan semerta gaya panggilan sedemikian ialah timbulnya kesedaran tentang perlunya sikap konsisten seorang mukmin iaitu peka dan responsif terhadap apa jua perintah Tuhan yang diimani. Orang mukmin tulen akan berasa malu andainya gagal menepati tuntutan iman. Mengaku beriman dengan Allah, tetapi kemudiannya mengingkari perintah-Nya adalah sikap tidak konsisten dan tidak jujur. Demikianlah al-Qur'an mempersiapkan jiwa dan minda mukmin untuk menerima perintah yang segera akan menyusul pada kalimat-kalimat berikutnya.
Panggilan tersebut diikuti dengan sebutan sejumlah amalan keji yang mencirikan budaya masyarakat jahiliah, termasuk judi (al-maysir). Demikianlah hakikatnya, judi bukan amalan masyarakat maju dan bertamadun tinggi. Ia adalah sisa kejahiliahan masa lalu yang jijik dan memalukan. Dalam ayat tersebut judi jelas-jelas disebut rijsun, suatu yang keji, kotor dan menjijikkan. Meskipun mungkin dilakukan di ruang casino yang serba moden, megah dan meriah dengan gemerlap pencahayaan yang berwarna-marni, hakikatnya ia tetap kotor dan menjijikkan. Orang yang mempunyai maruah akan berasa malu terlibat dengan judi, melakukan amalan berjudi, atau bersikap pro-judi.
Setelah disifatkan sebagai rijsun dengan segala kekejian dan kekotorannya, disebut pula hakikat judi sebagai produk pekerjaan syaitan (min `amal al-shaytan). Andainya ada orang yang melihat judi itu baik dan cantik, sebenarnya ia tertipu dengan pesona hasil gubahan syaitan. Memang syaitan memiliki kemahiran tinggi membungkus dan mengemas kekejian sehingga tampak bagaikan kebajikan. Memang itulah keahliannya: mempedaya manusia dengan kejahatan yang dihias indah dan megah sehingga disangka kebaikan tulen dan asli.
Orang mukmin yang sentiasa ingat dan sedar tentang permusuhan abadinya dengan syaitan akan sangat alergik dengan apa sahaja yang terkait dengan syaitan, lalu sentiasa mewaspadai segala bentuk jebakan dan jerangkap samar syaitan. Mereka yang melihat judi sebagai suatu yang baik dan menguntungkan, pada hakikatnya bukan orang bijak, tetapi orang naïf, tidak dapat membaca tipu-daya syaitan dan rakan-rakan kongsinya.
Pemakaian kata shaytan dalam al-Qur'an ada yang meliputi makna manusia dan jin yang jahat, menipu orang dengan kata-kata propaganda yang penuh tipu-daya sebagaimana dalam ayat:
وكذالك جعلنا لكل نبيّ عدوّا شياطين الإنس والجنّ يوحى بعضهم إلى بعض
...زخرف القول غرورا
Dan demikianlah untuk setiap nabi Kami menjadikan musuh
yang terdiri daripada syaitan-syaitan manusia dan jin,
sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang
lain perkataan yang indah sebagai tipuan. … (Al-An`am:112).
Demikianlah kata syaitan yang mungkin berwujud sebagai manusia (al-ins) yang memusuhi nabi-nabi, menolak dan mengenepikan ajaran-ajaran mereka. Manusia-manusia syaitan ini juga selalu bekerjasama, saling membantu dalam menciptakan propaganda, dakyah dan slogan indah yang motifnya adalah penipuan dan pembodohan. Ungkapan "perkataan yang indah" (zukhrufa 'l-qawl) mungkin meliputi juga alasan-alasan rekaan untuk menjustifikasikan sesuatu perbuatan atau amalan keji, termasuk dakwaan kononnya ada judi kebajikan yang bermaksud baik, untuk mengumpul dana yayasan membantu golongan miskin. Andainya dasar menjadikan judi sebagai sumber pendapatan itu adalah sejenis model ekonomi, maka nama paling tepat ialah model ekonomi kesyaitanan atau satanomics.
Walau dikemas secantik mana, dan berikan label seindah mana, selagi hakikatnya adalah judi, al-Qur'an tetap tegas, "maka jauhilah ia!" (fa 'jtanibuhu). Kata "jauhilah" mengisyaratkan makna betapa keji dan berbahayanya judi sehingga tidak boleh dihampiri, apa lagi dilakukan. Al-Qur'an tidak mengatakan jangan lakukan!, tetapi jauhilah!. Ertinya, menghampirinya sahaja sudah salah, belum melakukannya lagi. Implikasi gaya pengungkapan sedemikian ialah bahawa yang dilarang bukan hanya berjudi, tetapi juga mewujudkan suasana yang merangsang orang berjudi, membuka ruang untuk orang berjudi, dan memberikan lesen kepada syarikat perjudian.
Ayat tersebut dihujungi dengan ungkapan pembawa harapan semoga "kamu beruntung" (la`allakum tuflihun). Jelas yang diberikan harapan akan beruntung bukan mereka yang berjudi, tetapi yang menjauhi judi. Bukankah ada juga orang berjudi yang beruntung? Sebenarnya tidak ada. Yang ada ialah orang yang tertipu, berasa beruntung walhal pada hakikatnya ia kerugian, terjerumus dalam kekejian dan menanggung dosa berat dunia-akhirat. Demikianlah ketololan manusia tahi judi, berasa mendapat, walhal hakikatnya ia kehilangan. Hilang dan musnahnya harapan untuk mencapai kejayaan dan keberuntungan hakiki. Demikianlah antara mesej tersirat ayat al-Ma'idah tersebut: Berjaya tanpa judi!.
Sebagai produk kemasan syaitan, judi membawa pelbagai kerosakan moral-sosial yang serius. Demikianlah seperti yang dijelaskan dalam ayat berikutnya:
إنّمايريدالشيطان أن يوقع بينكم العداوة والبغضاء فى الخمروالميسرويصدّكم
عن ذكرالله وعن الصلاة فهل أنتم منتهون.
Dengan arak dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud
menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu,
dan menghalang-halangi kamu dari mengingat Allah dan
dan melaksanakan solat, maka tidakkah kamu mahu
berhenti?. (Al-Ma'idah:91)
Judi yang berkesudahan mengambil harta orang secara tidak benar, bukan upah dan bukan keuntungan perniagaan, menyebabkan kerugian di pihak lain. Seterusnya kecurangan inilah pula yang membangkitkan rasa marah, benci dan dendam permusuhan seperti yang terluah dalam caci-maki dan sumpah-seranah pihak yang berasa dirugikan. Apalah erti slogan 1 Malaysia jika judi yang jelas-jelas menjadi pencetus permusuhan dan kebencian dibenarkan? Berjudi memang selalu mengasyikkan kerana dimeriahkan dengan sorak-sorai dan rangsangan syaitan. Keasyikan itulah pula yang melalaikan orang sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap Tuhan, termasuk tanggungjawab utamanya iaitu solat, dan tanggungjawab lainnya seperti keluarga dan masyarakat. Berapa banyak rumah-tangga yang runtuh dan keluarga yang menjadi porak-poranda gara-gara ketagihan judi.
Apabila segala kerosakan tersebut terjadi, bererti tercapailah tujuan syaitan, dan berjayalah rencana jahat mereka. Bayangkan betapa meriahnya syaitan berpesta ketika lesen judi diluluskan, dan bayangkan betapa gegak-gempitanya sorak-sorai syaitan nanti apabila ramai orang Islam terjerumus dalam jebakan judi. Secara realitik dapat dipastikan bahawa mekanisme yang ada ketika ini tidak akan berdaya, dan mungkin sekali tidak akan berminat menghalang orang Islam daripada terlibat dengan judi yang diangkat menjadi sejenis pesta besar. Persoalan ini mengingatkan kita kepada penglibatan orang Melayu-Muslim dalam syarikat perjudian ternama di negara ini. Catatan Joe Studwell dalam bukunya Asian Godfathers: Money and Power in Hong Kong and Southeast Asia wajar kita renung dengan penuh rasa prihatin,
Lim Goh Tong's casino empire keeps its Malay shareholders
under very close wraps since gambling is an anathema to
Islam; almost all the large shareholders in his main listed
vehicles are nominee companies. But Lim cannot hide his
dependence on close relationships with Malaysia's powerful
police force. Retired officers take many jobs at his giant
casino, while directors and executives of Genting, his main
company, have included a former inspector general and
deputy inspector general of the national police force. (Hlm.
75-76).
Hampir semua orang tahu, termasuk yang bukan Islam bahawa judi adalah suatu kemungkaran besar yang membawa akibat buruk. Tetapi kenapa dibenarkan juga? Al-Qur'an dengan jelas dan tegas menyebutkan antara tanggungjawab penguasa ialah melaksanakan amar makruf nahi munkar, mendorong kemakrufan dan mencegah kemungkaran (al-Hajj:41). Apakah bisikan taukeh judi sudah mengatasi pesan Ilahi? Agama memberikan panduan jelas kepada pemerintah Muslim agar menjadikan maslahah sebagai asas apabila membuat sesuatu dasar atau keputusan.
تصرّف الإمام منوط بالمصلحة
Tetapi apa yang terjadi jelas bertentangan dengan prinsip tersebut. Meluluskan lesen judi bererti menjadikan mafsadah (kerosakan) sebagai asas pijakan dalam membuat dasar dan keputusan. Bagaimana rakyat dapat merasa damai, tenang dan yakin jika pemerintahnya sudah tidak komited kepada prinsip maslahah, malah sebaliknya sudah hilang kepedulian terhadap tanggungjawab melindungi rakyat dari mafsadah dan kebejatan moral-sosial.
Melihat hal-hal di sekitar isu ini, rakyat mulai bertanya siapa sebenarnya yang berkepentingan dalam kelulusan lessen judi ini? Kenapa pemimpin-pemimpin politik kelihatan tidak berdaya menolak kemahuan syarikat-syarikat perjudian sehingga pesan Tuhan tidak dipedulikan dan suara rakyat tidak diindahkan. Apakah ini satu lagi bukti yang membenarkan dakwaan Noreena Hertz tentang berlakunya gejala pengambilalihan kuasa secara senyap?
Dalam bukunya The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy beliau mengatakan,
Politicians are increasingly seen as impotent, irrelevant,
and dishonest. People see their governments as unable
to deliver what they promise, obsessed with unimportant
issues and internal politicking, riddled with corruption,
clinging to outmoded notions of authority, and increasingly
in the pockets of businesspeople. (hlm. 121).
Alangkah malangnya jika benar bahawa pemimpin-pemimpin politik yang mewakili rakyat sudah …increasingly in the pockets of businesspeople, sudah semakin jauh berada dalam poket tokoh-tokoh dan taukeh-taukeh perniagaan, termasuk pemilik-pemilik syarikat perjudian.
Mungkin ada yang mempertahankan dasar membenarkan perjudian atas perkiraan ekonomi, bahawa Judi adalah sumber penting pendapatan negara. Mungkin ada negara atau pihak-pihak lain yang menjadikan judi sebagai sumber pendapatan, tetapi yang pasti judi tidak boleh dan tidak mungkin menjadi sumber kesejahteraan. Sebaliknya ia adalah punca kesengsaraan. Tidak mempedulikan pesan dan peringatan Tuhan bererti menempah kesengsaraan. Itulah yang dimaksudkan dengan ma`isyatan danka (kehidupan yang sempit) sebagaimana diperingatkan dalam ayat 124 surah Taha di atas.
Meskipun mungkin ditimbuni harta yang melimpah ruah, tetapi ia adalah kehidupan yang terputus dari rahmat Tuhan dan tersisih dari naungan-Nya. Sumber kesejahteraan adalah Allah, Tuhan yang bernama al-Salam. Tidak ada kesejahteraan, kedamaian dan keteduhan selain dalam kehidupan yang sirami rahmat Ilahi dan diteduhi naungan-Nya. Tanpa rahmat dan naungan-Nya yang ada hanya keresahan, ketegangan, keraguan dan ketakutan. Hidup tanpa rahmah dan barakah itulah yang disebut hidup yang malang dan celaka dalam hikmah kepujanggaan bangsa:
Bergantung kepada Yang Satu
Berpegang kepada Yang Esa
Tuah hidup sempurna hidup
Hidup berakal mati beriman
Malang hidup celaka hidup
Hidup tak tahu halal haram.
BANGI: 9 Jun 2010.
Tuesday, May 25, 2010
ABIM SELANGOR MEMBANTAH SEKERAS-KERASNYA PEMBERIAN LESEN JUDI BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010 KENYATAAN AKHBAR ABIM NEGERI SELANGOR
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) membantah sekeras-kerasnya serta merasa amat kesal dengan keputusan kerajaan yang secara rasminya telah memberikan lesen pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA. ABIM menilai keputusan ini tidak wajar kerana majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini menolak judi kerana banyak membawa kesan buruk dan penyakit sosial yang teruk.
ABIM menegaskan bahawa keputusan tersebut langsung tidak mempunyai sebarang justifikasi yang munasabah serta hanya bersifat untuk meraih keuntungan material jangka pendek yang boleh memberikan kesan yang negatif ke atas masyarakat dan negara. ABIM dengan ini menyeru kepada semua umat Islam untuk sama-sama membantah keputusan tersebut demi menjaga kesejahteraan setiap lapisan masyarakat di negara ini. Pihak ABIM juga akan menggerakkan bantahan ini di seluruh negara bagi memastikan keputusan ini tidak dilaksanakan demi kesejahteraan semua pihak. Tiada ada agama di dalam dunia ini yang membenarkan serta menghalalkan perjudian kerana impak negatif sosialnya yang secara langsung akan menyebabkan kemusnahan moral individu, institusi keluarga dan masyarakat serta mencemar imej Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. ABIM dengan ini menggesa dan bertegas agar Kerajaan Malaysia menarik semula keputusan pemberian lesen pertaruhan ini demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan negara.
Bagi ABIM Selangor , pengeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap. Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.
Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.
Oleh yang demikian ABIM Selangor mendesak :
1)Kerajaan Persekutuan menarik balik lesen yang telah dikeluarkan kepada BERJAYA GROUP serta merta.
2)Semua mufti-mufti dan para ulamak khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri untuk mengeluarkan kenyataan atas kelulusan ini.
3)Semua institusi pendidikan, Masjid dan surau membuat bantahan dan kempen penerangan bagi menimbulkan kesedaran agar muslimin dan muslimat terutama golongan belia sedar keburukan judi dan kesannya kepada masyarakat.
4)Semua NGO Islam bersatu menyatakan pandangan dan bantahan mengenai pemberian lesen perjudian ini.
5)Semua pihak sentiasa peka dan sedar , bahawa ada agenda buruk yang mahu melihat umat Islam semakin sesat dan jauh dari agama melalui judi, arak , seks, dadah dan semua maksiat.
MEMBINA DAN MENGGERAK GENERASI KHAYRA UMMAH
MOHD ZAWAWI BIN AHMAD MUGHNI
Yang Di Pertua
Negeri Selangor Darul Ehsan
Thursday, May 20, 2010
MUKTAMAR SANAWI KE 36


Tuesday, April 27, 2010
ISU JENAYAH QADHAF
| Penyataan Sikap Terhadap Isu Jenayah Qadhaf |
بسم الله الرحمن الرحيم
لقد أرسلنا رسلنا بالبيّنات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط وأنزلنا الحديد فيه بأس شديد ومنافع للناس وليعلم الله من ينصره ورسله بالغيب إن الله قوى عزيز
Sesungguhnya, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesunggguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa. Al-Hadid:25
Petikan ayat 25 surah al-Hadid di atas seharusnya menyedarkan kita bahawa sesungguhnya keadilan (al-qist) adalah rumusan misi seluruh agama samawi. Demikianlah, Islam yang memang terumpun dalam warga agama-agama wahyu meletakkan keadilan di puncak hiraki sistem nilainya dan sekaligus menjadikannya salah satu maqasid (matlamat) utamanya. Selaras dengan itu umat Islam dituntut menegakkan keadilan (iqamat al-`adl) sebagaimana yang tersurat dan tersirat dalam syari`at. Justeru, keadilan yang hakiki dan mutlak hanya ada dalam syari`at, hukum-hakam Ilahi yang merupakan penjelmaan keadilan-Nya (`adlu 'Llah).
Komitmen keislaman hanya dapat menepati erti hakikinya apabila maqasidnya terlaksana. Maqasid al-shari`ah dalam erti objektif, tujuan dan matlamat syari`at yang menjadi tema besar wacana usuli meliputi keperluan dan hak asasi yang mesti dipelihara dan dijamin demi martabat, maslahah dan survival kemanusiaan. Antara yang terliput dalam cakupan maqasid tersebut ialah jaminan perlindungan terhadap maruah dan kehormatan diri. Dalam pidato haji perpisahan yang merumuskan sari utama misi kerasulanya, Rasulullah s.`a.w. menyebut maruah (al-a`rad) sebagai suatu yang suci, suatu yang mesti dihormati tanpa kompromi. Memang demikianlah hakikatnya, Islam melindungi maruah dan kehormatan diri umat menerusi hukum-hakamnya yang jelas dan tegas, cukup untuk mencegah kesewenang-wenangan mencemarkan maruah seseorang. (Untuk penyataan penuh sila klik di sini).
Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.
Kedaulatan syari`at adalah asas pembangunan umat dan masyarakat yang murni, bermaruah dan berintegriti. Masyarakat Islam dengan ciri-cirinya yang sedemikian itu tidak dapat menerima budaya fitnah, ghibah dan gosip yang membawa akibat fatal: keruntuhan martabat dan maruah umat keseluruhannya. Para pelaku dan penabur fitnah sebenarnya tidak layak hidup di tengah umat yang bermaruah dan berbudaya saling hormat. Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf.
Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara`seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan. Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at?
Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya. Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر)
Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah. Sementara itu kita juga ingin mengingatkan bahawa dalam melaksanakan proses perundangan secara Islam, yang seharusnya dicari adalah kebenaran, keadilan dan keredhaan Tuhan, bukan loophole dalam teks undang-undang untuk dieksploitasi membela kezaliman.
Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah). Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya:
إنَ الذين جاءوبالإفك عصبة منكم لاتحسبوه شرًا لكم بل هو خيرلكم لكل امرئ منهم مااكتسب من الإثم والذى تولَى كبره منهم له عذاب عظيم.
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula). Al-Nur:11
إنَ الذين يحبّون أن تشيع الفاحشة فى الذين آمنوا لهم عذاب أليم فى الدنيا والأخرة والله يعلم وأنتم لاتعلمون
Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang Beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Al-Nur:19
Demikianlah kerasnya amaran pembalasan Tuhan kepada perancang fitnah dan penyebar berita bohong. Malah sekadar "…ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar…" sudah cukup untuk membawa akibat ditimpa azab yang pedih dua kali, di dunia sekarang dan di akhirat nanti. Masing-masing akan merasakan kepedihan azab Tuhan mengikut kadar peranan yang dimainkan dalam kegiatan jahat tersebut. Masyarakat Melayu-Islam adalah masyarakat yang bersusila dan beradab. Manusia unggul dalam pandangan sarwa (worldview) Melayu diungkapkan dengan kata "orang budiman", ungkapan yang melambangkan kesempurnaan watak manusia cendekia dan berakhlak mulia. Melayu yang hidupnya dikandung adat adalah bangsa yang sentiasa mengawal perilakunya dengan nilai dan norma agama dan budaya.
Kesetiaan terhadap nilai-nilai itulah yang membentuk etos bangsa yang tersirat di balik kata "pantang Melayu", ungkapan yang merujuk sikap ketidakrelaan melakukan atau diperlakukan di luar batas nilai-nilai budayanya. Dalam kaitan ini perlu diingat bahawa antara pantang Melayu paling besar ialah mengaib atau diaibkan. Demikianlah sebagaimana yang dinyatakan secara eksplisit dalam dialog Seri Teri Buana-Demang Lebar Daun. Dialog yang disebut "wa`ad" oleh Tun Seri Lanang itu adalah sebuah dokumen budaya yang dimaknai sebagai kontrak sosial Melayu antara penguasa dan rakyat. Seri Teri Buana yang menyimbolkan penguasa Melayu menyetujui tuntutan Demang Lebar Daun yang bertindak sebagai jurubicara rakyat, agar rakyat Melayu walau apa pun kesalahannya, "jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar`i."
Memang kata-kata tersebut bukan teks suci keagamaan, tetapi ia tetap mempunyai makna dan significance kebudayaan yang istimewa. Justeru ia adalah pernyataan kesedaran Melayu tentang maruah dan karamah insaniah; bahawa manusia (Melayu) sekecil mana pun harus dihormati dan tidak boleh diaibkan. Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) adalah karya agung yang mengungkapkan hikmah (wisdom) tradisi kepujanggaan bangsa tentang erti keluhuran etika sehingga "…segala raja-raja Melayu tiada pernah memberi `aib pada segala hamba Melayu, …". Dengan gaya dan daya kepengarangannya yang istimewa Tun Seri Lanang menyuarakan ketajaman firasat dan sekaligus amaran, "Jikalau ada seorang raja memberi `aib itu `alamat negeri akan dibinasakan Allah Subhanahu wa Ta`ala."
Demikianlah teks sebuah karya dari khazanah kepujanggaan bangsa yang mengabadikan suara hati dan akal budi Melayu sebagai bangsa yang memiliki kehormatan dan harga diri, yang demi maruah sanggup menderhaka apabila di`aibkan. Kontrak sosial Melayu memberikan isyarat jelas bahawa setia Melayu adalah setia bersyarat, sebagaimana derhakanya juga adalah derhaka bersebab. Setia Melayu yang tanpa syarat hanya kepada syari`at, rela menerima sebarang keputusan dan tindakan "…jikalau patut pada hukum syar`ie." Demi menghindari krisis yang diungkapkan oleh Tun Seri Lanang dengan kata "binasa" itu, jangan siapa pun melanggar pantang Melayu, dan jangan siapa pun menolak syari`at. Bangsa ini jangan diajar menjadi liar, tetapi kembalikanlah ke akar agama dan budayanya.
Sekretariat Bersama
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).
Kajang: 11 Rabiulakhir 1431 / 27 Mac 2010
klik di sini utk teks asal
HARI PARENTING TASKI/TAHFIZ FIRDAUS KLANG 2010 KALI KE 15
Tarikh : 11 April 2010 / 26 Rabiul Akhir 1431HTempat : Pusat Pendidikan ABIM Klang. Batu 8, Jalan Meru, Mukim Kapar, Klang
Program bertujuan mengeratkan silaturrahum ibubapa dan warga Al Firdaus ini telah menampilkan dua orang penceramah hebat bagi menjadikan Al Quran sebagai budaya kehidupan.
Ia juga bagi meningkatkan kefahaman ilmu ilmu yang ada di dalam Alquran.
Membuka bicara ialah Tn Hj Muslimin selaku Pengarah Yayasan Takmir.

Seasi pertama dimulakan oleh Mantan Ketua Helwa ABIM, ustazah Hazlina Abd Razak dengan tajuk Al Quran - Petunjuk & Penawar Insan
kemudian Dr Badrul Amin Bahron, Mantan Ketua Biro Dakwah ABIM meneruskan seasi kedua dengan tajuk Yamsi Al Quran.

Majlis berakhir pada pukul 12.30 tgh
Monday, March 08, 2010
PROGRAM BERSAMA ABIM, WADAH, GPM
Monday, December 07, 2009
SAYANG ADIKKU SAYANG

PROGRAM SAYANG ADIKKU SAYANG
( SENANDUNG AL-FATIHAH )
Tempat : Surau Hj Kamaruddin Batu 7 ( Meru )
Tarikh : 22-23 / 12 / 2009 ( Selasa hingga Rabu )
Masa : 10.00 pagi selasa hingga 10.00 pagi rabu
Bayaran : RM 10.00 Setiap seorang
Penyertaan : Berumur 10 tahun – 15 tahun
Sebarang pertanyaan sila hubungi
Mohd Khairul Rijal Mohd Bakir
( s/u ABIM Klang )
013 – 298 3041
ULASAN
Program ini telah berjalan dengan lancar sekali.
seramai 59 peserta telah mendaftar untuk mengikuti program ini.
iaitu 27 Lelaki dan 32 perempuan...
di akhir program semua peserta berharap supaya program seperti ini
dapat dijalankan pada masa yang akan datang, kerana ianya dapat
menambah ilmu pengetahuai tentang pelbagai...
terutama dalam program ini, peserta mendapat ilmu tentang Al-Fatihah...
Thursday, December 03, 2009
ADAPUN MANUSIA
Yang ada ilmu di dada...
Mengingatkan manusia,
Hanya bila disuruh...
Itupun tidak seluruh,
Kadangkala ingatan jadi
Mainan seloroh,
Juga tidak sentiasa,
Hanya ada masanya...
Wahai Insan,
Ingatkan dirimu sebelum kamu diingat,
Bila di telinga kedengaran syahadat,
Tatkala mulut bagai disumbat,
Dosa noda yang mengikat.
Detik itu bukan omongan,
Jua bukan satu gurauan,
Tapi ia adalah ingatan,
Jadikan ianya sebagai pedoman,
Kerana di hadapan kita,
Hanya ada dua jalan,
Tiada pilihan,
Jalan Tuhan atau jalan Syitan...
Detik itu pasti tiba... Bersediakah kita???
Hj. Mohamed Muslimin Hj Yaakop
16 Zulkaedah 1430 / 03 Disember 2009
Thursday, September 10, 2009
APAKAH ERTINYA KEMERDEKAAN
Merdeka bukan sekadar bebas dari kekejaman penjajahan,
Merdeka bukan sekadar kemeriahan sambutan-sambutan,
Merdeka bukan sekadar sambutan keseronokan,
Merdeka bukan sekadar pertunjukan-pertunjukan,
Merdeka bukan sekadar gah mercu bangunan,
Merdeka bukan sekadar ucapan-ucapan majlis,
Merdeka bukan sekadar pidato-pidatoan semata,
Merdeka bukan sekadar sorak-sorai, gegak gempita,
Hiburan melampau, tanpa arah dan tujuan murni.
Apakan ertinya kemerdekaan,
Jika bangsanya berjiwa hamba:
Seperti buih yang akan segera lenyap,
Ibarat mentimun:
Digelek luka, menggelek luka,
Tak pernah merasai harga diri:
Kerana memang tak punya harga diri,
Tahunya pasrah dan menyerah,
Ibarat penghuni pusat serenti:
Hidup tak punya erti,
Merempat di bumi sendiri,
Mundar mandir membawa diri,
Bangkit bernyawa yang perlu dihindari.
Adapun bangsa merdeka,
Berkualiti unggul:
Hadirnya membawa makna,
Tahu betapa mahalnya harga diri,
Lantas memperkasa jati diri.
Pembangunan insan difahami, dihayati,
Sebagai penghias diri.
Ilmunya, amalnya, akhlaknya,
Boleh dicontohi dan diteladani,
Tanda bangsa sejati,
Membangun agama, bangsa dan negara,
Berlandaskan ketinggian akal budi.
Hj Mohamed Muslimin b Hj Yaakop,
SK Meru, Jalan Tap,
42200 Kapar.
29 Rejab 1430 / 14 Julai 2009
Wednesday, September 09, 2009
Kanak-kanak Memerlukan Kasih Sayang.
Tuesday, September 08, 2009
Ihya' Ramadhan
TARIKH : 12 SEPTEMBER 2009
LOKASI : PPAK Meru
PENYERTAAN : BELIA / REMAJA, Masyarakat Setempat dan ahli ABIM
YURAN : PERCUMA
TENTATIF PROGRAM
0800 am Pendaftaran
0830 am Taklimat dan Mesra Diri
0900 am Tazkiyyah Nafsiah' / Solat Sunat Dhuha / Solat Sunat Tasbih
1030 am Ramadhan (medan tarbiyyah pendidikan jiwa)
1230 am Tazkiyyah Nafsiyyah 2, Tadarrus Al-Quran
1330 am Solat Zuhur Berjamaah
1430 am As-Solah Momentum - Al-Falah
1600 am Majlis Penutup
1630 am Solat Asar Berjamaah / Bersurai
Meklumat Lanjut Sila Hubungi
03 - 33924652 (PPAK)
019 - 3636394 (Hidayah)
Tuesday, September 01, 2009
MUHASABAH RAMADHAN
Friday, August 21, 2009
KATEGORI ORANG ISLAM YANG WUJUD DALAM MASYARAKAT
APAKAH STRATEGI DAN KAEDAH GERAKAN KITA UNTUK MENYANTUNI MEREKA-MERAKA INI ???
Perbincangan Usrah Unit Meru, Klang
Rejab 1430 / Julai 2009
Thursday, August 20, 2009
Bila anda mula tidur ?
Kalau kita sebagai pemetik suiz untuk ‘ on ’ dan ‘ off ’ , mengapa ada kalanya kita mahu tidur tetapi mata tidak lelap? Dan mengapa kita mahu bangun jam sekian, tetapi ada kalanya kita lewat bangun ?
Monday, August 10, 2009
7 TIP IBUBAPA PRIHATIN UNTUK KECEMERLANGAN
2. Elakkan membuang masa dengan sia-sia.
3. Gunakan pancaindera sebaik dan semaksima mungkin.
4. Jalankan aktiviti sesuai dengan tuntutan aqidah, syariat dan akhlak sebagai seorang muslim.
5. Adakan perancangan yang tepat bagi kejayaan masa depannya.
6. Beri panduan cara mengurus masa dengan betul.
7. Sentiasa menjadikan anak sentiasa berakhlak dengan tingkahlaku yang positif.
Tn. Hj. Mohamed Muslimin b. Hj. Yaakop
AMBILLAH WAKTU
Itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu untuk bermain,
Itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa,
Itu adalah sumber ketenangan.
Ambillah waktu untuk belajar,
Itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai,
Itu adalah hak istimewa yang diberikan Al-Khaliq.
Ambillah waktu untuk bersahabat,
Itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu untuk bertaqwa,
Itu adalah irama yang menggetarkan hati.
Ambillah waktu untuk memberi,
Itu adalah kehidupan yang sentiasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja,
Itu adalah nilai keberhasilan.
Ambillah waktu untuk beribadah,
Itu adalah kunci ke Syurga.
Hasil nukilan :
Tn. Hj. Mohamed Muslimin b. Hj. Yaakop
( Mantan Yang Di Pertua ABIM Klang )



